al-razi-1

BIODATA

Al-Razi merupakan seorang tokoh perubatan Arab yang terkenal pada Zaman Pertengahan. Nama sebenar beliau ialah Abu Bakar Muhammad Ibn Zakariya tetapi di kalangan masyarakat Eropah, beliau lebih dikenali dengan nama Rhazes. Beliau berbangsa Parsi dilahirkan di Rayy berhampiran Tehran, Iran pada tahun 864M bersamaan 251H. Beliau pernah digelar sebagai Jalinus Arab (Galen of the Arab) dan pernah menjadi guru kepada Ibn Sina, seorang lagi tokoh perubatan Arab yang agung.

Pada zaman remajanya, Al-Razi lebih berminat dengan muzik dan nyanyian. Walau bagaimanapun, keinginannya terhadap ilmu pengetahuan menyebabkan beliau beralih ke bidang alkemi, kimia, falsafah, logik, matematik dan fizik. Ketika berusia 40 tahun, beliau telah ke Baghdad untuk menuntut ilmu perubatan. Bidang perubatan seterusnya telah menarik minat beliau sehinggakan hampir seluruh hidupnya dihabiskan dalam bidang ini.


Memandangkan minatnya yang tinggi dalam bidang tersebut, beliau telah dilantik sebagai ketua di sebuah hospital di Rayy setelah kembali dari Baghdad. Reputasi yang cukup membanggakan menyebabkan beliau seterusnya telah diberi kepercayaan untuk menjadi Pengarah di sebuah hospital utama di Baghdad semasa pemerintahan Adhud Daulah.

Adhud Daulah telah meminta Al-Razi untuk membina hospital baru dan untuk itu, Al-Razi telah melakukan satu ujikaji. Beliau telah meletakkan kepingan-kepingan daging di beberapa tempat di bandar Baghdad dan kemudian mengukur tahap kerosakan daging tersebut. Beliau kemudian menentukan tapak hospital dengan memilih kawasan di mana kepingan daging tadi mengalami tahap kerosakan yang paling rendah.

Sebaik sahaja tamat tempoh tugasannya sebagai Pengarah Hospital di Baghdad, beliau kembali ke kampung halamannya di Rayy di mana beliau telah mencurahkan bakti mengajar tentang kesihatan di hospital tempatan dan menyambung minatnya dalam bidang penulisan. Beliau telah menghasilkan lebih 200 buah buku dan sebahagiannya adalah dalam bidang perubatan.

Al-Razi sememangnya merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa. George Sorton, seorang penulis terkenal pernah menulis di dalam bukunya, ‘Pengenalan Kepada Sejarah Sains’ mengatakan, “Al-Razi merupakan seorang saintis Islam yang terbaik pada Zaman Pertengahan”. Selepas 66 tahun mengerah tenaga untuk memastikan bidang perubatan berkembang maju, Al-Razi akhirnya meninggal dunia pada tahun 930 M.

SUMBANGAN

Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam pelbagai bidang. Beliau menjadi perintis dalam bidang pediatrik (berkaitan kanak-kanak), obstetrik (ilmu perbidanan) dan ophthalmologi (berkaitan mata). Walau bagaimanapun, jasa beliau dalam bidang perubatan memang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau digelar “Bapa Pediatrik” oleh ahli sejarah kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengubati penyakit kanak-kanak. Beliau juga orang yang pertama mengenalpasti penyakit ‘hay fever’ dan penyebabnya.

Al-Razi juga adalah orang yang pertama memperkenalkan alkohol (Bahasa Arab: Al-Kuhl) untuk tujuan perubatan. Beliau juga adalah pakar bedah yang terkemuka dan orang yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius. Beliau juga menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau mengaitkan ini sebagai hasil pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan.

Al-Razi adalah orang yang pertama membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa dan juga saintis pertama yang membincangkan mengenai pembesaran dan pengecilan pupil mata. Beliau menerangkan bahawa reaksi tersebut berlaku kerana tindak balas terhadap keamatan cahaya.

Al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litoriti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil supaya senang dikeluarkan melalui saluran kencing. Selain daripada itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang yang pertama membezakan kedua-dua penyakit ini seterusnya membuat kajian sistematis mengenai penyakit tersebut. Ini dicatatkan dalam buku beliau yang bertajuk Al-Judari wa al Habsah. Al-Razi juga telah memperkenalkan perkara-perkara berikut dalam ilmu farmasi:

  1. Penggunaan ubat untuk melawaskan pembuangan air besar secara lembut.
  2. Penggunaan air sejuk untuk menyembuhkan demam yang melarat.
  3. Penciptaan benang seton dan pembakaran tisu untuk kes-kes luka.

Al-Razi juga menekankan hubungan di antara doktor dan pesakit. Beliau menyarankan agar wujudnya ikatan kepercayaan antara kedua-dua pihak ini: “Komen yang positif daripada doktor akan menguatkan semangat pesakit, membuatkan mereka rasa lebih selesa serta membantu proses pemulihan”. Beliau juga mengingatkan kepada para pesakit: “Bertukar-tukar doktor pula akan hanya membazirkan kesihatan, masa dan wang pesakit itu sendiri”.

HASIL KARYA

Al-Razi telah menghasilkan 237 buah buku di mana 140 buah daripadanya adalah berkaitan bidang perubatan. Sepuluh buah daripada buku-buku perubatan tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Antara kitab yang telah beliau hasilkan ialah Kitab al-Mansuri, Kitab al-Hawi Fit-Tibb, Kitab al-Muluki dan Kitab al-Judari wa al-Hasabah.

Karyanya Al-Judari wal Hasabah merupakan karya pertama yang merangkumi penulisan tentang demam campak dan cacar. Al-Hawi merupakan ensklopedia perubatan yang terbesar yang mengandungi bahan-bahan kejian perubatan yang bersumberkan daripada ilmu perubatan patologi dan terapi Arab dan Yunani. Beliau telah menghasilkan ensklopedia 20 jilid  ini melalui catatan pengalaman dan pandangan beliau sendiri selama berkecimpung dalam bidang perubatan.  Antara keistimewaan sistem perubatan yang diasaskan oleh beliau ialah kaedah rawatan melalui pemakanan yang betul dan seimbang. Hal ini merupakan antara gabung jalin antara pengaruh psikologi terhadap kesihatan. Beliau juga telah membuat percubaan terhadap teori ini ke atas haiwan bagi mengenal pasti keberkesanan serta kesan sampingan terhadap pelaksaan kaedah tersebut.

Kitab al-Hawi merupakan pecahan terbesar di mana ia meliputi 9 jilid. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan nama ‘Liber Continens’ oleh doktor perubatan Yahudi berbangsa Sicily, Faraj Ibn Sallim (Farragut) pada 1279M dan diulang cetak beberapa kali pada 1509M di Venice dan juga 1528M, 1578M dan 1745M di Paris.

Kitab al-Hawi telah menjadi rujukan yang utama di Perpustakaan Fakulti Perubatan Paris di Perancis pada 1395M. Menurut Ali Ibn al-Abbas al-Majusi, kitab tersebut mengandungi:

  1. Cara menjaga kesihatan.
  2. Kaedah mengubat penyakit melalui pemakanan.
  3. Cara mengenal tanda-tanda penyakit.

Kitab al-Mansuri pula merupakan kitab perubatan pertama yang ditulis oleh beliau. Ia dinamakan sempena nama pemerintah Rayy pada masa itu iaitu Mansur Ibn Ishaq. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1480M di Milan dan dikenali dengan nama ‘Liber AlMansoris’. Ia mengandungi 10 jilid dan sebahagian daripadanya telah diterbitkan ke dalam bahasa Jerman dan Perancis. Terjemahan jilid ke-9 yang telah ditulis oleh Gerard Cremona dengan nama ‘Nonus Al-Mansuri’ adalah teks terkenal di Eropah sehingga kurun ke-16.

Al-Razi dalam bukunya ini membincangkan mengenai teori perubatan dan definisinya secara umum; diet dan dadah serta kesannya kepada badan manusia; penjagaan ibu dan anak, penyakit kulit, kebersihan mulut dan kesan persekitaran kepada kesihatan. Beliau juga memperkatakan mengenai anatomi di mana ia membincangkan mengenai kepelbagaian organ badan manusia dan ransangan terhadap saraf motor.

Kitab al-Judari wa al-Hasabah pula adalah kajian menyeluruh yang pertama berkenaan penyakit cacar dan campak. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin buat kali pertama pada 1565M dan kemudian ke dalam bahasa-bahasa lain dan diulang cetak sehingga 40 edisi di antara 1498-1866M. Ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh William A. Greenhill di London pada 1848M. Tesis berkenaan kedua-dua penyakit ini diiktiraf sebagai kajian sistematis yang sulung dalam sejarah perubatan. Pada masa yang sama juga, beliau telah menyarankan beberapa petua untuk merawat kedua-dua penyakit tersebut.

Selain daripada bidang perubatan, Al-Razi juga pernah menghasilkan buku berkenaan ilmu kimia seperti Kitab al-Asrar dan sebuah lagi buku yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Latin dengan nama ‘Liber Experimentorum’. Beliau juga menghasilkan 21 buah buku berkenaan alkemi selain buku-buku dalam bidang fizik, matematik, astronomi dan optik. Sejumlah buku-buku beliau termasuklah Jami fi-al-Tibb, Maqalah fi-al-Hasat fi Kuli wa al-Mathana, Kitab al-Qalb, Kitab al-Mafasil, Kitab al-’Ilaj al-Ghoraba, Bar al-Sa’ah dan Al-Taqseem wa al-Takhsir telah diterbitkan ke dalam pelbagai bahasa. Sehingga kini, kira-kira 40 buah manuskrip beliau masih lagi disimpan dengan rapinya di perpustakaan dan muzium di Iran, Paris, Britain dan Rampur (India).

Sesungguhnya sumbangan Ar-Razi tidaklah hanya kepada masyarakat ketika zamannya, bahkan beliau juga bertindak sebagai pembuka jalan bagi kajian-kajian dan penemuan sains amnya dan perubatan khususnya pada masa kini.