Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji milik ALLAH s.w.t., Tuhan Yang Maha Esa, Maha Hebat, Maha Berkuasa dan Memiliki segala yang ada di bumi dan di langit.

Selawat dan salam yang teristimewa dilafazkan buat junjungan mulia, kekasih kita Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga serta para sahabat baginda.

Ramadhan kini menghampiri penghujungnya dan bulan Syawal bakal bertandang. 30 hari tarbiyyah institusi Ramadhan sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada tahap ketaqwaan kepada ALLAH s.w.t. Bulan yang dijanjikan ALLAH dengan rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka ini sememangnya menjadi buruan dan

kecintaan para ‘ibadurrahman. Tatkala menghampiri detik perpisahan antara mereka dengan Ramadhan, hati terasa begitu sebak dan sayu memandangkan kekasih yang dicintai mereka bakal berangkat. Entah pasti atau tidak Ramadhan seterusnya bakal ditemui.

Sememangnya institusi tarbiyyah Ramadhan diturunkan secara khusus kepada kita bagi senantiasa memperkemas dan mengemaskinikan tahap iman dan taqwa kita kepada ALLAH s.w.t. Diharapkan dengan sepenuhnya agar momentum yang telah kita bina sepanjang 30 hari pada bulan Ramadhan

1429 Hijriah ini mampu dikekalkan dalam 11 bulan yang akan bertandang selepas ini sebelum bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun 1430 Hijriah, insyaALLAH.

Dengan berpisahnya kita dengan Ramadhan, secara fitrahnya akan kita bertemu dengan satu hari kegembiraan dan kemenangan dianugerahkan ALLAH kepada kita. Hari tersebut ialah ‘Aidul Fitri atau Hari Raya Fitrah. Pada hari ini, kita dianjurkan untuk kembali kepada fitrah kita, saling berkunjungan menziarahi satu sama lain, bermaafan, mengukuhkan tali persaudaraan dan terus memperkemas iltizam untuk kembali kepada fitrah mentaati ALLAH s.w.t. pada setiap detik dan tempat.

APIS mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin. Tahniah diucapkan kepada kita semua. Semoga telah maju kita semua setapak ke hadapan, dalam menghadapi hari-hari seterusnya.

Insya ALLAH, semoga kita semua terus tetap berada dalam pemeliharaan dan redha ALLAH s.w.t.

Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki
Presiden
Alumni Pelajar Islam SBP (APIS)