Palestin

Kisah Palestin…kisah sedih ummah…kisah duka keluarga…kisah sengsara insan. Kisah yang hanya Allah SWT sahaja tahu akan kesudahannya. Kini, dunia kecil ini diam, diam sepi akan segala jenayah kemanusian yang terang-terang dikenakan ke atas mereka yang bermati-matian mempertahankan sebidang tanah kecil yang mereka panggil sebagai rumah. Rejim Zionis durjana terus menerus menumpahkan darah umat Islam. Di mana undang-undang antarabangsa? Di mana Hak Asasi Manusia yang diperjuangkan manusia? Di mana umat Islam? Mereka sendiri diam, berpeluk tubuh, takut akan ancaman kafir laknatullah. Kesenyapan dunia Islam menjadi punca utama yang mencetus perbuatan syaitan-syaitan bertopenkan manusia ini meneruskan agenda-agenda jahat mereka.

Aku kecewa…tawar hati akan kaum Arab dan kaum muslimin masakini. Kita, sekarang mudah dihina, dipijak, walaupun bilangan kita ramai namun, kita sangat lemah. Umat Islam hari ini bagai semut-semut hitam yang dipijak-pijak. Mulut kita hanya tahu berbunyi, tetapi kosong dalam strategi. Sementara minda kita terus dalam buaian, mereka terus membuat perancangan. Sementara komuniti kita terus berkelahi, mereka terus terorganisasi. Sementara kita bercakaran sesama sendiri, mereka terus bersatu hati. Kesal…kesal dengan kondisi umat masa kini.

Kisah Palestin…setengah abad berlalu sejak tertubuhnya negara Zionis. Kejayaan demi kejayaan digapai mereka setelah termeterainya perjanjian antara Jeneral British, Balfour dengan golongan Yahudi Inggeris. Tanah merah itu menjadi saksi kekejaman Yahudi sejak itu. Zionis yang hanya ‘beberapa kerat’ itu telah mampu marampas Al-Quds dari tangan kita. Mengapa ?

Al-Quds, tanah bagi para anbia’, tanah di mana kiblat pertama umat Islam berada, tanah terjadinya Israq Mi’raj. Mengapa tanah suci ini hilang dari tangan kita? Di mana semangat juang kita? Aku kira, majoriti umat Islam kini sudah lali dengan masalah ummah, sehingga tidak mahu mendengar akan rintihan kecil anak-anak Palestin.

Jadi, berapa ramai yang perlu dikorbankan agar kita mampu mendengar semula? Mungkin, baru semua umat Islam sudah licin disapu mereka, baru dunia hendak sedar? Adakah begitu yang harus dilakukan? Palestin menjadi penanda aras sejauh manakah kesungguhan kita terhadap Islam. Setiap hari, kita menatap sendiri kisah sedih rakyat Palestin. Di mana belas kasihan kita sebagai manusia? Ribuan, malahan jutaan dibunuh setahun, rumah yang dianggap syurga dilanggar kuat jentolak-jentolak yahudi, anak-anak kecil membesar tanpa kasih sayang ayah ibu, isteri-isteri menjadi balu, hujan-hujan peluru membasahi tanah merah itu. Saudara- seagama kita di sana menagih kasih dari kita di sini, namun apa yang kita balas? Alhamdulillah, masih segelintir yang sedar. Pertubuhan seperti Aman Palestin, sebagai contohnya adalah badan yang ditubuhkan khusus untuk membantu rakyat Palestin di mana aktiviti-activiti kemunusiaan menjadi teras matlamat pertubuhun ini, yang jelas sekali untuk meringankan kesengsaraan rakyat Palestin.

Namun, bagaimanakah umat Islam di Malaysia melihat isu palestin? Isu pertelingkahan dalam kalangan rakyat Palestin sesama sendiri menyebabkan kita muak memikirkan nasib saudara seagama kita. Apa, adakah itu boleh dijadikan alasan untuk kita terus berdiam, sebagaimana dunia ini diam. Tidak sama sekali, isu seperti ini perlu dilihat dari sudut pandangan yang berbeza. Konteks orang Islam sesama orang Islam perlu diterapkan dalam pemikiran kita, sebagai mana hadis Rasulullah SAW:

“Perumpamaan orang mukmin sesama mereka seperti jasad yang satu, sekiranya satu anggota merasa sakit maka seluruh anggota akan merasa sakit dan lemah.”

“Dan barangsiapa yang tidak mengambil berat terhadap nasib umat Islam walaupun apa bangsa, warna kulit dan kedudukan maka bukanlah dikalangan mereka.”

Maka, dengan berteraskan dengan asas inilah kita melihat krisis di Palestin. Kita perlu menjadi lebih peka, bukan memekakkan telinga ini. Asas di mana, kita ini saudara seagama, satu jasad, satu masyarakat, satu ummah, perlu dicurahkan dalam aliran saraf-saraf agar sebati dengan jasad yang dipinjamkan ini. Alhamdulillah, bumi tanah air kita ini masih aman, namun kita jangan alpa dan leka akan kisah Palestin yang kini bagai telur dihujung tanduk, yang hanya menunggu dilanyak habis tentera-tentera Yahudi.

Sedarlah, kisah saudara kita di sana perlu kita hayati, selami dan jiwai. Bantuan kita, insyaAllah akan membantu mereka. Kisah sedih ini perlu di’edit’ semula menjadi kisah gembira, kisah kejayaan, kisah kegemilangan bagi umat Islam sejagat. Semoga kepimpinan kita pada hari ini dapat mewujudkan kesedaran dalam setiap kotak hati insan-insan yang bergelar rakyat Malaysia, kerana kepimpinan yang cemerlang melahirkan rakyat yang gemilang, bak kata orang tua-tua ‘Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan’.