Sumber: Utusan Malaysia Online

Oleh SITI MAIZATUL AKMAR ISMAIL

Gambar: Muhamad Muda (dua dari kiri) melancarkan sudut pidato di kampus USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai satu lagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menyediakan sudut pidato atau Mimbar Ilqa’, baru-baru ini. Ia sebagai menyahut saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk menghidupkan semula sudut pidato di setiap universiti.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, pelancaran Mimbar Ilqa’ itu bukan gimik untuk menyahut seruan kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, ia bagi memberi ruang pelajar menyuarakan pandangan dan idea secara kritis dan membina, malahan untuk menyemarakkan dan mengembalikan kegemilangan suasana kemahasiswaan di IPTA.

“Dengan adanya sudut pidato di USIM, suasana di kampus akan menjadi lebih segar dan pelajar akan menjadi lebih matang dalam melontarkan idea dan buah fikiran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Mimbar Ilqa’ di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah.

Menurut Muhammad, isu-isu yang dibangkitkan perlu mempunyai kesan kepada masyarakat dan bukannya retorik semata-mata.

Katanya, sebagai mahasiswa, apa yang disentuh harus berkaitan dengan isu-isu global pada masa kini seperti sosial, perkembangan teknologi, ekonomi dan sebagainya.

“Saya berharap sudut pidato ini dipenuhi dengan ucapan-ucapan bernas dan tidak disalah guna sebagai medan membuat kritikan dan tuduhan yang tidak berasas kepada mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, Muhammad Hilmi Juhari berharap, mahasiswa akan memanfaatkan sudut pidato itu untuk mengasah bakat kepimpinan dan pengucapan awam.

“MPP USIM sedang bekerjasama dengan Kelab Debat USIM dalam usaha mempromosi dan menarik minat mahasiswa agar sudut pidato ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.