Sesi ceramah mengenai peranan Hamba dan Khalifah oleh Sdr. Abu Qassim.

Pada 6 dan 7 Februari 2010 yang lalu bertempat di Malay College Kuala Kangsar, Perak Program Pemantapan BANI MCKK (MANTAP) telah berjaya dilaksanakan. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t. atas keizinan yang telah diberikan.

Program yang bermula pada Sabtu malam Ahad tersebut disertai oleh 40 orang pelajar MCKK yang merupakan Exco dan para pelapis Exco Badan Nahdhah Islamiyyah (BANI) yang terdiri daripada pelajar tingkatan 2 hingga ke tingkatan 5. Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ustaz Abdul Latif, Guru Cemerlang Pendidikan Islam MCKK yang merangkap Penasihat bagi BANI.

Program diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Sdr. Abu Qassim, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM yang berkisar tentang konsep Hamba dan Khalifah. Dalam ceramah yang disampaikan juga, peserta banyak didedahkan mengenai buku yang wajar dijadikan bacaan, lebih-lebih lagi apabila memikul amanah sebagai pemimpin.


Pada keesokan paginya, bertempat di Surau MCKK diadakan sesi pembentangan yang kedua mengenai Hala Tuju BANI yang disampaikan oleh wakil APIS. Selepas pembentangan tersebut, diadakan aktiviti dan permainan dalam kumpulan yang berteraskan pemupukan semangat persaudaraan sesama ahli. Para peserta juga dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan untuk berbincangkan dan membentangkan dapatan mereka daripada dua sesi ceramah yang diadakan.

Pada bahagian penghujung program, Presiden BANI pada sesi ini, iaitu Saudara Luqman dijemput untuk menyampaikan ucapan bagi menyampaikan misi beliau memimpin pada tahun ini, memberikan kata-kata semangat keapda Exco yang lain dan menyatakan keperluan mereka bersama. Wakil bekas pelajar MCKK turut memberikan ucapan dan akhir sekali Ustaz Abdul Latif memberikan ucapan penutupan.

Program MANTAP ini mendapat sambutan yang positif dan memberangsangkan sebagaimana yang diterima semasa kunjungan APIS ke SMS Johor pada Januari yang lalu. Ada respon yang meminta agar program sebegini diadakan pada setiap tahun, diluaskan kepada semua pelajar yang lain serta mereka memaklumkan bahawa banyak input baru yang berguna telah diperoleh.

Kita berdoa dan berharap agar Allah s.w.t. mengizinkan kita memperoleh ilmu yang bermanfaat, kefahaman yang benar dan mantap serta kekuatan untuk mengamalkannya dengan ikhlas dan istiqamah. APIS yakin dengan kesungguhan serta potensi yang dimiliki oleh para pelajar SBP dalam memainkan peranan besar mereka untuk merealisasikan generasi rabbani.

Insya Allah, jika tiada aral yang melintang, APIS bakal meneruskan pengembaraannya dalam menjayakan program sebegini di SBPI Kubang Pasu, SMS Dungun, dan SBPI Sabak Bernam. Pada masa yang sama juga, kerjasama daripada mana-mana pihak daripada SBP lain turut dialu-alukan bagi mencapai hasrat murni ini.