Barisan Exco APIS sesi 2010/2011


Kuala Lumpur – Pada 13 Mac 2010 yang lepas, Alumni Pelajar Islam SBP (APIS) telah mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ketiga. Seramai 21 orang ahli APIS menghadirkan diri dalam perhimpunan yang bertempat di Masjid al-Muttaqin, Wangsa Melawati.

Majlis bermula dalam lingkungan jam 9.00 pagi dan berjalan seperti biasa iaitu dimulai dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis yang kemudiannya disusuli dengan doa pembukaan.

Perasmi Mesyuarat Agung Tahunan APIS ke-3, Saudara Faisal (kanan) menerima penghargaan daripada Presiden APIS, Saudara Fakhrul.

Majlis dirasmikan oleh Saudara Faisal bin Abd Aziz manakala pelayaran majlis pula dinakhodakan oleh Saudara Abdul Aziz bin Abdul Rahman selaku Pengerusi Tetap. Kemudian, Saudara Fakhrul Hazim bin Azmi menyampaikan Ucapan Dasar Presiden APIS 09/10. Seterusnya, majlis dihangatkan lagi dengan Agenda Perbahasan Ucapan Dasar. Walaupun beberapa isu yang dibangkitkan merancakkan perbincangan dan respon hadirin, namun Presiden APIS 09/10 dapat menjawab kesemuanya perkara yang dibahaskan dengan tenang.

Majlis ditangguhkan buat seketika untuk memberi ruang kepada semua peserta Muktamar untuk menikmati jamuan yang disediakan. Seterusnya, Saudara Azharul Amin bin Ahmad Nazaruddin membentangkan Belanjawan dan Laporan Kewangan APIS bagi tahun 2009/2010. Agenda ketiga iaitu Pembentangan Usul dan Perbahasan Usul diteruskan selepas itu. Memandangkan terlalu ramai yang ingin membahaskan usul-usul yang diberikan, Perbahasan Usul dilanjutkan setengah jam selepas berhenti rehat untuk solat Zohor.

Presiden APIS, Saudara Fakhrul Hazim sedang berucap.


Agenda terakhir ialah Ucapan Penggulungan Presiden APIS 09/10 dan Pembubaran Ahli Jawatankuasa Tertinggi APIS 09/10. Patah tumbuh hilang berganti, tampuk pimpinan baru telah dilantik bagi meneruskan bagi menggerakkan APIS bagi sesi 10/11. Saudara Fakhrul Hazim yang dikekalkan sebagai Presiden APIS 10/11 menyampaikan ucapan dan harapan beliau dalam pimpinan yang baru ini. Tepat pukul 3.52 petang, Perhimpunan Tahunan APIS Kali Ketiga ditangguhkan.

Tuntasnya, perjalanan majlis perhimpunan pada kali ini dapat disempurnakan dengan jayanya. Kita berasa amat bersyukur dan yakin penganjuran program sebegini pada masa akan datang akan mendapat sambutan hangat daripada para pelajar dan bekas pelajar SBP. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua ahli yang sudi menghadirkan diri dalam muktamar pada kali ini. Semoga tampuk kepimpinan APIS yang baru dilantik dapat menjalankan tugas dengan amanah dan istiqamah.

Mudah-mudahan usaha kita mendapat keberkatan daripada Allah demi merealisasikan usaha pembentukan generasi rabbani yang akan meneruskan amanah sebagai khalifah Allah.

“Melahirkan Profesional Muslim Berasaskan Kefahaman Islam Yang Syumul”