Sumber: Berita Harian Online

KAMARUZAMAN (kiri) bersama Kamarudin pada Pelancaran Perkhidmatan Kaunter Uniteller Tabung Haji di Bank Rakyat, semalam.


Transaksi kewangan manfaat 5 juta pendeposit Tabung Haji

PENDEPOSIT Tabung Haji kini boleh membuat pendaftaran haji dan transaksi kewangan termasuk membuka akaun baru, di mana-mana 124 cawangan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) di seluruh negara.

Kemudahan itu yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lima juta pendeposit Tabung Haji, susulan jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi itu yang memperkenalkan ‘Perkhidmatan Kaunter Uniteller Tabung Haji di Bank Rakyat’ semalam. Pelancaran perkhidmatan baru itu disempurnakan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Kamarudin Mat Ali, yang mewakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Menerusi kemudahan itu, pendeposit Tabung Haji boleh melaksanakan transaksi perbankan dengan lebih mudah menerusi kemudahan elektronik milik Bank Rakyat, termasuk 301 mesin ATM dan 104 mesin mesin deposit tunai (CDM) di seluruh negara.

Sebelum ini, pendeposit Tabung Haji hanya boleh mendeposit tunai, membuat pengeluaran dan memindahkan tunai melalui rangkaian mesin ATM dan mesin CDM Bank Rakyat.

Kamarudin berkata, kini seramai 135,000 pendeposit akaun Tabung Haji sudah dihubungkan dengan perkhidmatan ATM Bank Rakyat.

“Kami jangkakan jumlah itu akan meningkat dengan ketara pada masa depan apabila penerimaan terhadap perkhidmatan ini lebih meluas dan pelanggan menyedari mereka boleh membuat urusan lebih mudah tanpa perlu ke kaunter Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan adalah sebahagian strategi organisasi itu untuk meningkatkan sistem penyampaiannya bagi mencapai sasaran 50 peratus penduduk Islam di negara ini menjadi pendepositnya.

“Di bawah Pelan 50, Tabung Haji mensasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada masyarakat Malaysia sebagai pendepositnya,” katanya.

Ketika ini, Tabung Haji mempunyai kira-kira lima juta pendeposit yang mewakili kira-kira 30 peratus penduduk Islam di negara ini.

Kamarudin menambah, kerjasama itu adalah kesinambungan daripada jalinan hubungan perniagaan yang dimeterai pada 2008 yang mana ketika itu dilancarkan perkhidmatan kemudahan penggunaan ATM dan CDM Bank Rakyat di kalangan pendeposit Tabung Haji.

Perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan dan tahun lalu menyaksikan transaksi simpanan melalui CDM Bank Rakyat meningkat kepada 31,753 daripada 6,799 transaksi pada 2008.

Sementara itu, transaksi menggunakan kad ATM bagi urusan pindahan daripada akaun Bank Rakyat ke akaun simpanan Tabung Haji pula meningkat kepada 4,034 transaksi pada 2009 berbanding 672 transaksi pada 2008.