Soalan

Oleh: Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki

Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati

4 Pertanyaan

Ertinya:

Daripada Abu Barzah Nadhlah bin ‘Ubadi al-Aslami radhiallahu ‘anhu berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Belum berganjak lagi kedua-dua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah pada hari qiamat), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa dibinasakannya (digunakannya).”

Hadits Riwayat Tirmizi

Keterangan:

Rasanya susah sekali pertanyaan di atas untuk dijawab. Namun pada hari itu segala pertanyaan ini mesti dijawab dengan jawapan yang baik dan benar. Kita pasti akan berkata benar pada waktu itu. Tidak ada seorang pun yang berani berdusta di hadapan Allah s.w.t. Jikalau mulut cuba berdusta, maka Allah s.w.t. akan menguncinya dan mempersialakan anggota badan yang lain pula untuk bercakap. Maka kaki, tangan dan seluruh anggota badan akan bercakap dengan benar untukm mengakui segala apa yang pernah dilakukannya sewaktu di dunia dahulu, seperti firman Allah dalam Surah Yaasiin, ayat 65 yang berbunyi:

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ

وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya:

“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu telah dikerjakan mereka.”

Maka sudahkah kita bermuhasabah? Sudahkah kita memperhitungkan diri sebelum diperhitungkan di hadapan Allah s.w.t. kelak? Kalau sudah teruskan dan bersyukurlah. Kalau belum, berbuatlah demikian sebelum terlambat.