APIS

Kuala Lumpur, 22 Disember 2009 – Alhamdulillah syukur dipanjatkan ke hadrat ALLAH s.w.t. atas keizinan-Nya pada hari ini pihak jawatankuasa APIS berjaya menghantar permohonan pendaftaran pertubuhan. Permohonan ini dikemukakan oleh Presiden APIS, Saudara Fakhrul Hazim bin Azmi bersama seorang AJK lagi kepada Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang berpejabat di Plaza Permata, Jalan Kampar, Kuala Lumpur.

Kini permohonan itu sedang diproses dan insya Allah, berdasarkan piagam pelanggan yang dinyatakan pihak Pendaftar Pertubuhan, keputusan permohonan akan dimaklumkan selewat-lewatnya 3 bulan dari tarikh hari ini. Marilah bersama-sama kita sentiasa memanjatkan doa kepada ALLAH s.w.t. semoga segala urusan dipermudahkan, dan dimakbulkan hasrat murni menjadikan sebuah NGO Islam yang berkualiti dan tetap beristiqamah memberikan khidmat kepada umat Islam berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah, keikhlasan, kebenaran, keadilan dan kesungguhan.

Visi APIS: “Melahirkan Muslim Profesional Berasaskan Kefahaman Islam yang Syumul.”