Seorang rakan bertanya kepada saya, bagaimanakah untuk mengekalkan khusyuk dalam solat? Meskipun tidak menjadi salah satu syarat sah dalam solat, hakikatnya khusyuk tetap menjadi suatu tuntutan yang amat penting demi menjaga kesempurnaan solat. Menurut pendapat saya, bagi menjawab persoalan bagaimana untuk khusyuk dalam solat, kita perlulah terlebih dahulu memahami apakah erti khusyuk, dan mengapakah perlu khusyuk dalam solat.

Untuk kali ini, marilah kita mengenali pengertian ‘khusyuk’. Berikut saya petik dan sunting daripada buku ‘Pelik tapi Benar dalam Solat’ karya Ustaz Abdul Rahman Mohamed:-

Apakah erti khusyuk sebenarnya? Khusyuk pada asalnya bererti: Diam dan merendah. Khusyuk boleh dilakukan dengan hati dan anggota badan. Khusyuk dengan hati maksudnya, menunduk dan merendahkannya sambil memberi tumpuan penuh. Khusyuk dengan anggota badan pula maksudnya, menunjukkan sikap tunduk dan merendah diri. Kata lawan kepada khusyuk adalah sombong, angkuh dan tidak peduli. Oleh itu, apabila seseorang itu melakukan solat, hendaklah dia khusyuk pada hatinya dengan merendah diri, memberi tumpuan penuh kepada Allah s.w.t., dan jangan pula mengamalkannya dengan sikap-sikap yang menampakkan kesombongan dan keangkuhan. Begitu juga dengan perkataan, tidak harus keluar dari mulutnya melainkan perkataan-perkataan yang mengagungkan Allah s.w.t.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:

“Rasulullah s.a.w. melarang solat dalam keadaan bercekak pinggang.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Para ulama telah meletakkan ini dalam bab khusyuk, kerana bercekak pinggang merupakan perbuatan syaitan yang menampakkan kesombongan dan keangkuhan yang bertentangan dengan sifat khusyuk iaitu merendah diri.

Begitu juga dengan hadith Jabir Bin Samrah katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Hendaklah berhenti kaum-kaum daripada mendongak ke langit ketika solat dan jangan mendekati mereka.”

(Riwayat Muslim)

Mendongak ke langit juga merupakan perbuatan yang jelas dikatakan tidak khusyuk kerana pada zahirnya mendongak itu adalah meninggikan kepala dan tidak merendahkannya. Riwayat-riwayat ini semua menjelaskan maksud khusyuk yang sebenarnya iaitu merendahkan hati, percakapan dan perbuatan.