Siapakah kita?

Solat 5 waktu sehari semalam merupakan rukun Islam yang ke-2 daripada jumlah 5 rukun Islam. Apakah pentingnya rukun Islam yang ke-2 ini? Kita lihat hadis Rasulullah s.a.w. di bawah ini:

Solat itu adalah tiang agama, maka sesiapa yang mendirikannya bererti dia telah menegakkan agamanya. Kemudian sesiapa yang meninggalkannya bererti dia telah meruntuhkan agamanya. Hadis riwayat Baihaqi


TIANG AGAMA. Identiti seorang Muslim itu sendiri. Mengapakah solat itu tiang agama seseorang Muslim? Kita lihat lagi hadis Rasulullah s.a.w. seperti berikut:

Awal-awal perkara yang dihisab atas hamba pada hari Kiamat ialah solat. Maka sekiranya solat itu elok nescaya eloklah lain-lain amalannya (diterima Allah), dan sekiranya solat itu rosak nescaya rosaklah lain-lain amalannya (ditolak Allah). Hadis riwayat At-Tabrani

Inilah sebabnya solat itu sangat penting, khususnya bagi umat Islam sekalian. Penentu SYURGA atau NERAKA. Ini bermakna, tidak kira berapa banyak amalan yang baik kita buat di dunia yang fana’ ini (ex. sedekah, menolong orang lain, mengajar ilmu pengetahuan, etc…), selagi solat itu tidak sempurna, amalan-amalan baik yang lain akan ditolak serta-merta. Astarghfirullah… Betapa besarnya implikasi solat kepada kita, termasuklah kepada hamba yang serba kekurangan ini.

Definisi solat ialah ‘beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan memberi salam.’ Maka, apakah perkataan dan perbuatan yang dimaksudkan ini? Perkataan seperti melafazkan surah Al-Fatihah, bacaan rukuk, bacaan sujud dan bacaan lain yang berkaitan. Perbuatan seperti rukuk dan sujud.

Apabila kita melakukan solat, adakah kita tahu maksud setiap perkataan yang dibaca? Contohnya, surah Al-Fatihah. Kita melafazkan Al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari di dalam solat 5 waktu kita. Mengapa perlu kita faham maksud bacaan ketika solat? Untuk menambahkan kekhusyukan dan penghayatan solat kita. Apakah kita merasakan solat kita sempurna tanpa adanya penghayatan terhadap solat yang kita lakukan?

Oleh itu, tujuan saya menulis di sini adalah untuk membimbing diri saya dan saudara saudari sekalian dalam menghayati solat yang kita lakukan. Insya-Allah, sedikit sebanyak dapat membimbing kita untuk memperbaiki kualiti solat masing-masing.

Takbiratul Ihram & Takbir:
Allahu Akbar – Allah Maha Besar

Doa Iftitah:
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi.
Dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya, dan aku dari golongan orang Islam.

Surah Al-Fatihah:

  1. Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
  2. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
  3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasihani.
  4. Yang menguasai hari pembalasan (akhirat).
  5. Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
  6. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
  7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai (yakni Yahudi), dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (yakni Nasrani).

Bacaan ketika rukuk:

Maha suci Tuhanku yang Maha Agung dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bagun dari rukuk:

Allah mendengar pujian orang yang memujiNya.

Bacaan ketika iktidal:

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud:

Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara 2 sujud:

Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku, dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat awal:

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.

Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatanNya.

Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.

Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat akhir (sambungan dari Tahiyat awal):

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan ke atas keluarganya.

Berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarganya.

Sebagimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan ke atas keluarganya, di alam ini.

Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Bacaan ketika doa Qunut:

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjukkan.

Sejahterakanlah aku sebagimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.

Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.

Berkatilah hendaknya untukku apa-apa  yang telak Engkau berikan kepadaku.

Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.

Sesungguhnya hanya Engkau sahaja yang menetapkan, dan tiada sesiapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.

Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinan-Mu.

Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.

Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau.

Hanya untuk Engkau sahajalah segala puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.

Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.

Dan Allah rahmatilah Muhammad, nabi yang ummi dan sejahtera ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Salam:

Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.

Harap-harap kita dapat menikmati faedah daripada mengetahui makna setiap bacaan kita dalam solat dan insya-Allah, dapat memperbaiki kekhusyukan solat kita. Salam.

Sumber penulisan saya:

  1. http://idhamlim.blogspot.com/2009/12/siapakah-kita.html
  2. http://cunacute.multiply.com/journal/item/4
  3. http://soleh.net/2008/02/21/kedudukan-dan-kepentingan-solat-dalam-islam/
  4. http://ilmupengetahuan.wordpress.com/pengertian-solat/
  5. http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2499.0