Telah diriwayatkan dalam suatu kisah lucu yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah di mana seorang guru berdiri di hadapan pelajar lalu bertanya kepada mereka: “Adakah awak semua boleh melihat saya?” Para pelajar menjawab, “Ya!” Lalu guru tersebut berkata: “Ini bererti saya wujud.”

Dia bertanya lagi kepada para pelajar: “Adakah kamu semua melihat papan hitam?” Para pelajar menjawab: “Ya!” Dia berkata: “Maka papan hitam itu wujud.” Dia meneruskan pertanyaan lagi sambil berkata: “Adakah kamu melihat meja?” Para pelajar menjawab: “Ya!” Dia berkata, “Bermakna meja itu wujud.”

Dia bertanya lagi: “Adakah kamu melihat Allah?” Para pelajar menjawab: “Tidak!” Maka dia berkata, “Ini bererti Allah itu tidak wujud!”

Lantas seorang pelajar yang agak cerdik bangun dan bertanya kepada rakan-rakannya: “Adakah kamu melihat akal cikgu?” Para pelajar menjawab: “Tidak!” Dan pelajar tersebut berkata: “Ini bererti akal cikgu tidak wujud.”

Dinukil daripada kitab Allah oleh Syeikh Said Hawwa